Aku masih ingat lagi masa mula-mula Kelantan jatuh ke tangan Parti Islam pada tahun 1990 dulu. Macam-macam berita dan cerita palsu disebarkan oleh media masa mengenai Kelantan dan Tok Guru. Masa tu aku di tingkatan 4 dan bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh di Kelantan. Ada satu kali tu (hari Sabtu) aku baliklah ke rumah (rumah Ummi) untuk bercuti hujung minggu. Terkejut sungguh aku melihat kampung aku menerima begitu banyak kunjungan dari masyarakat luar Kelantan. Ingat lagi tak, kat kampung aku ni ada sebuah sekolah agama iaitu SMU Darul Anuar? Pelajar sekolah ini sebahagian besar datangnya dari luar Kelantan.
Masa tu suratkhabar dan berita tv semuanya menyiarkan berita-berita dan gambaran seolah-olah rakyat di Kelantan akan mengalami kelaparan dan kesusahan kerana memilih PAS sebagai kerajaan. Maka datanglah berduyun-duyun (tak tipu ya) kaum keluarga yang mempunyai sanak-saudara di Kelantan. Mereka datang dengan membawa beras, gula dan bermacam-macam bekalan makanan dengan tujuan membantu ahli keluarga yang kononya 'kelaparan dan kesusahan' di Kelantan.
Sebaliknya, banyak kelucuan telah berlaku. Satu contoh: Kat depan rumah aku tu ada lah sebuah pondok pisang goreng yang selalu dijadikan tempat lepak budak-budak di waktu petang. Aku ingat lagi, masa petang Sabtu yang aku balik cuti tu, ada sebuah van biru muda berhenti rehat di situ. Kalau dari beranda rumah, memang kami sekeluarga boleh nampak kalau ada orang duduk di pondok tu.
Alkisahnya, Ayah aku yang peramah tu pergilah berkenal-kenal dengan tuan punya van dan rombongannya (kalau tak silap sebuah keluarga dalam 7 - 8 orang). Aku pun jenis yang 'curious', mengekori Ayah untuk lihat siapakah mereka semua.
Beginilah lebih kurang perbualan mereka:
Ayah: Assalamualaikum! Ghamanya... maghi mmano nih? (Ramainya... datang dari mana ni?)
Pemandu van: Wa'alaikumussalam. Kami dari Johor, datang nak melawat anak.
Ayah: Ooooo...kali petamo maghi ko nih? Sumo ado belako nih. (Kali pertama datang ke sini ke? Semua ahli keluarga ada.)
Pemandu van: Tak. Dah banyak kali datang ke sini. Tu...lah, kami dengar orang Kelantan hidup susah sekarang. Dengar cerita, Kerajaan PAS tak cukup duit, miskin. Rakyat tak cukup makanan...
Ayah: Eh, sapo kato? (Eh, siapa yang kata?)
Pemandu van: TV hari-hari cerita pasal tu. Itu yang kami datang tergesa-gesa ni. Bawak beras, gula, gandum dan mana-mana yang dapat belilah. Bimbang anak kami susah kat sini.
(Aku dan Ayah pun menjenguk ke dalam van. Memang ada banyak barang makanan. Yang paling aku ingat, beras ada 2 guni... kelakar sungguh kalau diingat semula.)
Ayah: Laa... demo sumo nih nya tipu ko Khaja'e UMNO doh... Manolah kawe ssini iduk susohnya. Kalu bo beghah supo hok demo bowok tuh, belana-lana buleh beli, mughoh pulok tu. La'ilahaillallah... Maghilah naik atah ghumoh nyo. Kawe jamu make tengohaghi. (La... awak semua ni dah kena tipu kat Kerajaan UMNO. Orang Kelantan di sini manalah hidup susah. Kalau setakat beras yang awak bawa tu, kami pun boleh beli banyak, murah saja. La'ilahaillallah...Marilah naik ke atas rumah, kami jamu makan tengahari.)
Kelakar sungguh! Tapi itulah hakikat sejarah yang berlaku di kampung aku pada hari Sabtu di tahun 1990 itu. Dengar-dengar cerita kat tempat lain pun ada berlaku perkara yang sama. Oleh kerana sebahagian besar rakyat Malaysia ini menonton tv dan membaca suratkhabar arus perdana, maka minda dan kepercayaan mereka tentang Kelantan telah dipermain-mainkan sebegitu rupa. Kasihan sungguh.
Pulau Melaka
Aku dilahirkan di sebuah kampung yang sangat unik (bagi akulah) kerana beberapa faktor. Nanti aku cerita sedikit demi sedikit dalam blog ini. Kampung aku namanya Kampung Pulau Melaka yang letaknya di dalam Mukim Tok Ku, Daerah Sering, Dewan Undangan Negeri Panchor dan Parlimen Pengkalan Chepa.
Di sebelah ialah gambar satelit yang aku ambil dari Google Map. Rumah Ummi (emak aku) memang dapat dilihat dengan jelas cuma ku tak mahulah tunjuk yang mana satu. Dalam tu juga boleh dilihat dengan jelas kedudukan rumah Yang Amat Berhormat Datuk Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Kalau nak tahu yang mana satu, sila email aku ya.
Kampung aku ni memang sebuah pulau sebab dikelilingi oleh 2 batang anak sungai iaitu Sungai Pengkalan Datu di kanan (kini dah kering) dan anak Sungai Kelantan di kirinya. Walaupun kampung aku di kelilingi sungai, namun kami telah moden dan mempunyai jambatan yang elok sebagai penghubung ke tanah besar (macamlah jauh sangat). Aku masih ingat masa kecil dulu, orang kampung akan menaiki feri (nanti kalau jumpa gambarnya aku akan scan dan letak dalam ni) untuk menyeberangi sungai setiap kali hendak ke bandar Kota Bharu. Tetapi semuanya telah berubah. Kampung aku telah maju. Semenjak PAS mengambil-alih pemerintahan Kerajaan Negeri Kelantan, Tok Guru telah memastikan penduduk kampung mempunyai jambatan batu yang kukuh dan moden menggantikan jambatan kayu yang sempit dan uzur yang juga telah menggantikan feri.
Pusat Ilmu
Hari ini kampung aku bolehlah dikatakan agak maju, lebih-lebih lagi kami terletak di pinggir bandar. Di sini ada kompleks sekolah tadika, rendah, menengah dan tahfiz iaitu PASTI Pulau Melaka, Sek. Ren. Islam Al Anuar, Sek. Men. Agama Darul Anuar dan Maahad Tahfiz Darul Anuar. Boleh dikatakan kewujudan semua pusat pembelajaran ini adalah diasaskan oleh Allahyarham Tok Guru Hj. Nik Mat Alim iaitu ayahanda YAB Menteri Besar.
Di dalam kompleks ilmu inilah letaknya rumah Tok Guru dan Masjid Pulau Melaka. Nanti bila ada kesempatan aku akan rakam gambar terkini rumah Tok Guru dan juga gambar masjid kampung aku ini. Aku bersyukur sebenarnya kerana ditakdirkan Allah SWT untuk lahir di kampung ini. Rasanya sebahagian besar penduduk di sini telah pun mendapat pendidikan Islam sejak lahir lagi kerana budaya ilmu sentiasa subur di kampung ini.
Dulu arwah Mok (nenek sebelah Ummi) adalah guru Al-Qur'an dan arwah juga adalah sepupu kepada Allahyarhamah bonda Tok Guru. Bolehlah dikatakan aku ni 3-pupu dengan Tok Guru tapi aku tak pernah mengambil kesempatan di atas pertalian keluarga tersebut. Tapi tak usah bimbang, aku dan keluarga masih berhubung rapat dengan keluarga Tok Guru kerana kami sekampung dan aku pun berkawan dengan anak-anak Tok Guru sejak kecil.
Stesyen Minyak Petronas
Kalau sesiapa melalui kampung aku pasti tahu di mana letaknya stesyen minyak ini. Tambahan pula setiap yang mempunyai kenderaan bermotor pasti akan menggunakan minyak. Kalau nak tahu stesyen ini ialah kepunyaan anak-anak Tok Guru. Sebahagian besar ahli keluarga Tok Guru berminat dan terlibat dalam perniagaan. Sebahagian lagi terlibat dalam bidang pendidikan.
Rumah Ummi aku hampir setentang dengan stesyen minyak ini. Dekat... sangat. Lintas aje jalan, dah pun sampai.
sambung nantilah....
on Ummi baca Siasah, Ayah Baca Buletin